Pages

Jumaat, 24 Oktober 2008

Keajaiban ciptaan lebah

Omar: Ibu, tahukah ibu bahawa lebah madu amat menakjubkan? Contohnya, biar saya ceritakan perkara terakhir yang saya baca ini; mungkin ibu pernah mendengar lebah-lebah betina melakukan kerja-kerja pembersihan di dalam sel. Mereka membuang semua bahan-bahan yang ditinggalkan oleh lebah-lebah yang menetas daripada kepompong-kepompong mereka, lebah-lebah yang mati di dalam sarang dan banyak benda yang bukan kepunyaan sarang. Apakah ibu tahu apa yang mereka lakukan apabila mereka menemui sesuatu yang terlalu besar untuk mereka bawa keluar daripada sarang? Mereka mengawetnya dengan satu bahan yang dinamakan “propolis” untuk menghalangnya daripada menghasilkan bakteria dan menjejaskan kesihatan lebah-lebah yang lain di dalam sarang. Sukar untuk percaya, tetapi propolis adalah satu bahan anti-bakteria, iaitu, untuk menghalang membiakkan bakteria... Adakah ibu tahu di mana mereka mendapatkan bahan ini? Bagaimana makhluk-makhluk kecil ini mengetahui begitu banyak tentang kimia? Setakat itu sahaja yang telah saya baca. Mungkin saya boleh memberitahu bagaimana mereka membuat bahan ini kemudian.

Ibu: Lebah adalah haiwan yang kecil tetapi sangat bijak... Bagaimanapun, adalah salah untuk menganggap kebijaksanaan ini kepunyaan mereka. Terdapat seorang Pencipta yang mengajar mereka segala yang mereka lakukan. Ketika ibu seusia kamu, ibu juga membaca sebuah buku tentang lebah madu yang amat mengagumkan ibu, sama seperti kamu. Kamu boleh teruskan membaca. Ibu suka mendengar lebih banyak tentang lebah madu bila-bila masa sahaja kamu mahu berkongsi apa yang telah kamu pelajari dengan ibu.

Ibu saya keluar daripada bilik untuk menyediakan hidangan makan malam. Persoalan tersebut masih berlegar-legar di dalam fikiran saya; di mana lebah madu menemui bahan yang dinamakan “propolis” itu dan di mana mereka belajar menggunakannya? Saya terus membaca dengan penuh ingin tahu.

Buku ini turut menyebut bagaimana lebah-lebah madu menghasilkan propolis. Mulanya mereka mengumpulkan sejenis bahan yang dinamakan damar daripada tunas sebahagian pokok yang melekit dengan bantuan rahang bawah mereka. Mereka menghasilkan propolis dengan mencampurkan air liur mereka dengan damar tersebut, dan membawanya ke sarang di dalam kantung khas di kaki mereka.

Lebah madu menyaluti apa sahaja yang mereka tidak dapat bawa keluar daripada sarang dengan bahan ini yang mereka simpan di dalam kantung di kaki mereka. Dengan cara ini, bahan tersebut tidak dapat menempatkan sebarang bakteria dan menjadi tidak berbahaya. Ini adalah satu operasi yang sama dengan kaedah pengawetan mumia.

Tetapi siapa yang mengajar mereka melakukannya? Bagaimana mereka mengetahui bahawa makhluk yang telah mati atau bahan buangan boleh menjejaskan lebah di dalam sarang? Sedangkan saya sendiri baru mengetahuinya sekarang. Ini bukan sesuatu yang boleh diketahui oleh seekor serangga! Saya menjadi bertambah bingung. Apakah mungkin lebah-lebah madu ini juga mempunyai kesedaran seperti manusia?

Saya tidak berhenti daripada meneruskan pembacaan. Saya berkata sendirian: “Sekarang saya faham sebelum ini saya langsung tidak mengetahui apa-apa tentang lebah!”. Saya masih mempunyai banyak persoalan di dalam fikiran saya yang saya sendiri tidak dapat menjawabnya. Tetapi saya pasti lambat-laun saya akan menemui jawapannya.

Buku ini juga memberitahu bagaimana lebah menghasilkan madu. Saya pernah mendengar lebah menghasilkan madu, tetapi saya tidak tahu bagaimana mereka membina indung-indung madu. Malah cara yang mereka gunakan untuk membina indung-indung ini juga adalah suatu keajaiban!

Sel-sel indung madu berbentuk heksagon, rajah enam segi. Lebah-lebah madu mula membina indung ini daripada bahagian atas sarang. Bermula daripada beberapa titik, mereka membina dua atau tiga barisan ke bawah. Saya benar-benar keliru; bagaimana sebuah indung madu boleh menjadi begitu tersusun jika ia dibina dengan dimulakan daripada beberapa titik yang berbeza? Tambahan pula, tidak ada kesan titik persimpangan di antara sel-sel indung madu.

Saya pernah melihat ibu saya mengait banyak kali. Dia sering memulakan daripada satu titik. Saya tertanya-tanya bagaimana rupanya jersi jika dia memulakannya daripada tiga titik yang berbeza.... Sudah tentu ia kelihatan tidak elok! Jadi, sudah tentu lebah madu adalah haiwan yang mempunyai perkiraan yang tepat...

Saya mengambil sehelai kertas dan sebatang pencil. Bermula daripada sudut-sudut yang berbeza, saya mula melukis heksagon-heksagon (rajah enam segi). Saya cuba menggabungkan heksagon-heksagon ini di tengah-tengah kertas. Saya cuba melakukannya tanpa bantuan daripada sebarang peralatan seperti pembaris dan sesiku dan tanpa membuat sebarang anggaran.

Tetapi kemudian saya menyedari bahawa ia adalah operasi yang sukar. Jadi bagaimana lebah-lebah madu melakukannya? Bagaimana mereka sel-sel heksagon begitu sempurna?

Tiada titik persimpangan muncul di atas indung-indung madu yang dibina oleh lebah-lebah madu. Indung-indung adalah satu bentuk seragam, seolah-olah ia dibuat oleh seorang sahaja. Ini amat menakjubkan kerana lebah-lebah mula membina sel untuk membentuk indung-indung madu daripada titik-titik yang berbeza.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah setiap lebah yang menyertai pembinaan indung madu ini kemudian, dengan segera mengetahui peringkat pembinaan tersebut dan mengambil alih kerja tersebut. Ketika lebah-lebah meneruskan pembinaan sel-sel dari berbagai sudut, lebah-lebah lain pula yang menyertai kumpulan tersebut mula membina daripada sedut yang berbeza. Walaupun proses seperti ini selalunya menyebabkan kekeliruan, tetapi lebah-lebah ini telah membina satu struktur yang sempurna.

Saya juga membaca bahagian tentang teknik lebah membuat madu. Saya sungguh terperanjat dan gembira membaca tentang proses-proses yang luar biasa ini. Buku ini menyatakan bahawa inti sari madu adalah madu bunga yang lebah kutip daripada bunga-bunga dan kuntum-kuntum buah. Setelah mengumpulkan madu bunga daripada bunga-bunga, lebah menukarkannya kepada madu.

Terdapat satu lagi subjek yang penting di dalam buku ini: ia memerlukan kerja keras untuk menghasilkan madu. Contohnya, untuk mengumpulkan satu kilogram madu, 900 ekor lebah perlu bekerja sepanjang hari. Anggaran lain di dalam buku ini lebih memeranjatkan: untuk menghasilkan 450 gram madu tulen, 17 ribu lebah mesti menghinggapi 10 juta bunga. Ia adalah satu kerja yang sangat sukar bagi mereka. Tetapi, sebaliknya, lebah-lebah bekerja lebih kuat dan menghasilkan lebih banyak madu daripada keperluan mereka. Tambahan pula, mereka sendiri tidak menggunakan madu ini, tetapi menawarkannya kepada kita, manusia.

Ini adalah sesuatu yang membingungkan. Dengan tubuh mereka yang kecil hanya beberapa sentimeter panjang, lebah melakukan kerja-kerja yang menakjubkan. Apakah sumber kesedaran, kemahiran dan kuasa ini? Bagaimana mereka memperoleh kebijaksanaan, kesedaran dan mengetahui begitu banyak tentang kimia dan matematik? Mengapa mereka bekerja keras untuk menghasilkan madu?

Saya mengambil buku saya dan pergi kepada ayah. Saya memberitahunya segala yang telah saya pelajari, dan bertanya kepadanya bagaimana lebah-lebah ini dapat melakukan semua perkara ini. Sambil tersenyum, ayah menepuk kepala saya dan berkata:

“Kamu memang betul. Kita melihat kebijaksanaan dan kesenian yang hebat di dalam kehidupan lebah-lebah ini. Tetapi adakah ia hanya di dalam lebah? Sebenarnya, terdapat aturan yang sempurna di dalam semua haiwan dan lebih daripada itu, di dalam setiap bahagian daripada alam semesta ini! Tetapi terlebih dahulu biar ayah bacakan sepotong ayat daripada Al-Quran tentang lebah untuk menjawab soalan-soalan kamu itu:

Omar: Sekarang saya memahaminya dengan lebih baik, ayah. Allah “mendorong” lebah-lebah untuk bertindak dengan cara yang menakjubkan ini. Allah sangat mengasihi kita dan Dia mendorong lebah-lebah menghasilkan madu yang mengandungi ciri-ciri perubatan untuk kita. Sungguh menarik mempelajari tentang kemurahan Allah.

Ayah: Jika kamu mengkaji semut atau nyamuk, unta, burung, ikan, bunga, pokok, bintang, lautan, ringkasnya, semua yang ada di bumi, kamu juga akan merasa kagum berhadapan dengan kesempurnaan yang kamu saksikan pada mereka. Semua ini menunjukkan bahawa seluruh alam semesta ini diatur oleh satu kesenian yang hebat. Ini adalah kesenian Allah, yang menjadikan kamu dan ayah dan ibu kamu, lebah, burung kakak tua, arnab, tupai, planet-planet, angkasa, matahari, dengan kata lain semua yang terdapat di dalam cakerawala ini. Allah adalah Tuhan kepada semuanya.

Segalanya berlaku dengan kebenaran dan kehendak-Nya. Dia adalah Pencipta lebah-lebah madu. Semua yang mereka lakukan adalah dengan kebenaran-Nya. Kebijaksanaan yang kita saksikan di dalam haiwan-haiwan ini adalah lambang kebijaksanaan Allah yang tidak terbatas. Jika kamu melihat sekeliling kamu dengan pandangan seperti ini, kamu akan segera menyedari keajaiban yang sedang mengelilingi kamu!”

Ayah saya memang betul. Tidak dapat diragui lagi bahawa semua kebijaksanaan yang kita saksikan di sekeliling kita mempunyai seorang Tuhan Yang Maha Kuasa. Saya berfikir sendiri, “Allah adalah Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Pencipta segalanya”. Saya telah menemui jawapan kepada semua persoalan-persoalan yang selama ini mengganggu saya. Lebah-lebah madu tidak memiliki kebijaksanaan yang dipamerkannya! Adalah mustahil bagi mereka untuk memiliki kebijaksanaan seperti ini! Mereka bertindak dengan dorongan Allah, Pencipta mereka, dan kerana itu mereka mempamerkan satu kebijaksanaan tinggi yang memeranjatkan kita.

Saya meluangkan sepanjang minggu ini memberitahu semua orang yang saya temui, ibu saya, ayah, sepupu-sepupu saya dan sahabat-sahabat, tentang lebah madu. Pada hujung minggu, saya bertanyakan ayah saya untuk pergi ke hutan itu lagi.

Omar: Ayah adakah kita akan pergi berjoging di hutan lagi hujung minggu ini?

Ayah: Sebenarnya, ayah tidak merancang untuk ke sana hujung minggu ini, tetapi jika kamu mahu, mengapa tidak?

Saya amat berbesar hati dan gembira mendengarnya. Saya tertanya-tanya sama ada saya akan dapat bertemu lagi dengan lebah madu yang telah bercakap dengan saya!

Apabila kami sampai ke hutan tersebut, saya merasa lebih gembira. Saya tidak sabar untuk bertemu semula dengan lebah madu itu lagi. Saya mula berjoging bersama ayah saya. Tidak lama kemudian kami sampai ke tempat saya mula bertemu dengan lebah madu itu. Saya memberitahu ayah saya bahawa saya hendak meninjau di kawasan sekitar sebentar. Dia menerimanya, tetapi mengingatkan saya supaya tidak pulang lewat. Saya berlari dengan pantas ke tempat pertemuan kami. Sahabat saya itu telah sedia di sana menanti saya. Jelas dia telah berada di sini beberapa waktu.

Omar: Helo! Saya sangat gembira dapat bertemu dengan kamu lagi!

Si Lebah Madu: Saya juga begitu! Selamat datang! Saya juga gembira bertemu dengan kamu lagi Saya akan berpegang kepada janji saya dan akan menunjukkan kepada kamu indung-indung madu hari ini.

Omar: Hebat! Kamu tahu tak? Saya meluangkan sepanjang minggu ini memikirkan tentang indung-indung madu kamu yang menakjubkan itu! Saya tidak sabar untuk melihatnya!

Daripada sebatang pokok beberapa langkah daripada situ, satu bunyi dengungan yang menakjubkan kedengaran. Saya tidak mungkin berani pergi ke sana jika tidak ada sahabat saya ini bersama. Lebah madu kecil ini berjanji bahawa tiada apa akan berlaku kepada saya, dan saya mempercayainya.

Apabila kami menghampiri batang pokok, saya masih ingat bahawa di sebalik bunyi dengungan yang saya dengar terdapat aturan hebat di dalamnya. Lebah madu adalah salah satu di antara haiwan-haiwan yang kuat bekerja di alam ini; mereka bekerja tanpa sesaat berhenti dan mereka menghasilkan madu lazat yang mempunyai berbagai kegunaan kepada manusia. Sahabat kecil saya menunjukkan saya sel-sel indung madu; ia dibuat dengan begitu rapi sehinggakan sesiapa sahaja akan tertanya-tanya bagaimana makhluk-makhluk kecil ini dapat membuat sebuah binaan yang begitu sempurna.

Sel-sel yang saya lihat diperbuat daripada heksagon-heksagon yang kemas dan sempurna, atau rajah enam segi. Di dalam kelas matematik minggu lepas, saya telah menyoal guru saya beberapa soalan tentang heksagon. Beliau telah menerangkan kepada saya secara ringkas tentang heksagon, tetapi masih terdapat beberapa soalan di dalam fikiran saya.

Saya bertanyakan sahabat saya tentang garis panduan untuk membina sebuah sel indung madu heksagon. Dia memberitahu saya bahawa ketua lebah, yang merupakan lebah paling berumur, dapat memberikan saya jawapan yang tepat. Dia kemudian memanggil ketua lebah berkenaan, yang menjawab soalan saya:

Ketua Lebah: Ketika kami membuat sebuah sel heksagon, kami memberikan perhatian istimewa kepada sudut dalaman sel-sel indung. Kami mesti memastikan semuanya 120 darjah. Di samping itu, kecondongan sel-sel ini ke tanah juga amat penting. Jika kami menitikberatkan titik lain dan meninggalkan titik ini, sel tidak akan menjadi bentuk yang sepatutnya dan semua madu yang kami simpan di dalam indung akan melimpah keluar ke tanah.

Omar: Sebenarnya, ia amat sukar untuk sama memahaminya, kerana saya tidak biasa dengan subjek ini. Bagaimana lebah madu dapat melakukan perkiraan ini tanpa melakukan sebarang kesilapan? Bagaimana kamu menetapkan setiap sudut 120 darjah? Dan kamu tidak menggunakan sebarang peralatan ketika membina indung-indung ini. Ia mengingatkan saya kepada semua halaman-halaman yang penuh dengan bentuk-bentuk geometri ganjil yang saya lukis ketika cuba melukis heksagon yang tepat... Saya bertambah kagum dengan kamu sekarang!

Ketua Lebah: Jangan kagum dengan kami; kami tidak melakukan perkara-perkara ini sendirian! Ia adalah kemahiran-kemahiran semula jadi.

Dengan kata lain, kami dilahirkan dengan kemahiran-kemahiran ini. Kami tidak menerima sebarang latihan atau yang seumpama dengannya.

Omar: Kamu memperlihatkan kebijaksanaan yang hebat! Setiap orang perlu mempelajari perkara-perkara yang kamu lakukan. Saya ingin menyoal kamu beberapa perkara, jika kamu benarkan.

Ketua Lebah: Sudah tentu...

Omar: Mengapa kamu membina indung-indung kamu dalam bentuk heksagon?

Ketua Lebah: Saya faham. Kamu mahu tahu mengapa kami tidak membuatnya berbentuk bulat, segi tiga, pentagon atau oktagon, tetapi heksagon... Jika kami membuat indung-indung madu ini dalam bentuk lain, akan ada ruang-ruang tertinggal yang tidak digunakan di antara sel-sel; dengan itu, kami hanya dapat menyimpan kurang madu dan terpaksa membazirkan lilin untuk menampal jurang ini. Sebenarnya, kami juga boleh menyimpan madu di dalam bulatan atau segi tiga, tetapi heksagon adalah satu bentuk yang mempunyai ukur lilit yang terpendek. Walaupun mempunyai keluasan yang sama dengan bentuk-bentuk lain, tetapi kami menggunakan kurang lilin untuk membuat sel-sel heksagon daripada apa yang kami gunakan untuk membuat segi tiga dan bulatan. Dengan kata lain, kami boleh menyimpan jumlah madu yang maksimum di dalam indung-indung heksagon dan menggunakan jumlah lilin yang minimum.

Saya tidak dapat mempercayai apa yang saya dengar! Saya sedang mendapat pelajaran kejuruteraan daripada seekor lebah madu yang kecil... Terdapat banyak lagi perkara yang hendak saya tanya dan belajar. Tetapi hari sudah lewat, jadi kami meninggalkan Ketua lebah itu dan berjalan ke arah ayah saya.

Omar: Saya telah mempelajari banyak perkara daripada kamu dan lebah-lebah madu lain. Sekarang saya sedar sebelum ini saya tidak menyedari keindahan yang wujud di hadapan mata saya! Kamu telah mengajar saya bahawa terdapat aturan yang sempurna di dalam alam semesta ini.

Mulai sekarang saya harap saya akan dapat mengenal pasti semua kesempurnaan ini. Terima kasih banyak-banyak kepada kamu!

Si Lebah Madu: Tidak mengapa, sahabat kecilku... Jangan lupa bahawa tidak satupun kesempurnaan ini adalah milik kami! Kami hanya melakukan apa yang telah diajarkan kepada kami. Selamat tinggal!

Sebaik sahaja saya meninggalkan si lebah madu, saya terdengar ayah saya memanggil nama saya.

Hari sudah lewat. Saya segera kembali untuk bertemu dengan ayah saya, tetapi fikiran saya masih tertumpu pada sahabat kecil saya! Sebaik sahaja saya memasuki kereta, saya terlihat seekor rama-rama. Ia mempunyai gabungan warna yang hebat, harmoni dan simetri pada sayap-sayapnya. Saya memutuskan untuk pergi ke perpustakaan sekolah besok untuk melakukan kajian ke atas rama-rama.

Seseorang itu tidak akan dapat menghitung keindahan-keindahan yang dijadikan Allah. Saya menyedari kini bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari...



karya HarunYahya

Related topics

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...